Fesyen berkemban kini bagaikan menjadi-jadi di kalangan artis tempatan kita. Jika kita mahu membandingkan beberapa dekad yang lalu, hanya kini artis kita menggilakan konsep ala kemban terutamanya ketika majlis keramaian. Pokoknya, mengapa fesyen kemban kini mendominasi gaya artis kita sedangkan berkemban itu merupakan salah
satu cara pemakaian tradisional masyarakat Asia?
Bersama mStar Online meninjau kehangatan berkemban bersama
salah seorang pereka tersohor di negara kita, Salikin Sidek.
Mengapa kemban kembali?
"Ia sememangnya satu trend di kalangan wanita di Asia.
Wanita di Kelantan masih menggunakan kemban. Unik dibandingkan dengan cara wanita di Brunei memakai kemban. Mereka menggunakannya di luar baju kurung mereka," ujar Salikin Sidek, salah seorang pereka pakaian tradisional tersohor di Malaysia mengenai cara-cara pemakaian kemban di rantau ini.
"Salah satu kemungkinan juga adalah pemakai rasa lebih selesa dengan gaya tersebut. Ianya amat praktikal serta bersesuaian dengan cuaca negara kita" tambahnya lagi.
Adakah juga kerana dipengaruhi gaya di Hollywood? "Memang tidak dinafikan pengaruh artis Hollywood memainkan peranan yang penting. Ianya trendy.Lagipun trend kemban telah menjadi ikutan ramai sejak lima
tahun yang lalu di Malaysia. Tetapi ianya lebih elok jika orang tempatan kita mengenakan selendang agar kelihatan lebih sopan," kata Salikin lagi.
Ternyata pada beberapa acara kemuncak seperti Oscars serta Gloden Globes, ramai artis antarabangsa telah mengayakan gaun ala kemban. Antaranya Charlize Theron, Natalie Portman serta Kiera Knightly. Tidak kurang hebatnya juga ketika acara-acara kemuncak tempatan di mana ramai artis Malaysia memilih konsep berkemban untuk gaun mereka.
"Kebiasaannya artis akan mendengar nasihat kita atas dasar kita lebih
berpengalaman serta tahu selok belok fesyen," jelasnya mengenai sikap
artis tempatan ketika menempah baju ala kemban. Antara artis yang pernah
mengayakan hasil rekaan Salikin berkonsepkan kemban adalah Umie Aida, Erma Fatima, Nasha Aziz dan yang terkini, pelakon drama, Nisdawati.
Harga kemban mengikut rekabentuk serta kepanjangan kemban
itu. Antaranya adalah kemban berkonsepkan potongan dari atas dada
sampai ke pinggang berharga RM150 ke atas manakala gaun berkonsepkan kemban berharga RM1500 ke atas.
[MyStar]