Lelaki lebih lama berbual guna telefon
LONDON: Satu tinjauan baru mendapati lelaki sudah mengatasi wanita dari
segi menghabiskan masa bercakap di telefon - bukan setakat menguasai telefon rumah sebaliknya kerap berbual menerusi telefon bimbit mereka, lapor Daily Mail.
Purata lelaki berbual di telefon mencecah 32 minit sehari, meningkat dari 22 minit lima tahun lalu manakala wanita pula, menghabiskan masa 26 minit bercakap di telefon, turut dari 35 minit pada tahun 2002.
Bagaimanapun, penurunan masa bercakap di telefon di kalangan wanita disebabkan mereka cenderung berkongsi gosip menerusi emel dan SMS, menurut kajian ke atas 3,500 penduduk dewasa.
Menghubungi bank atau syarikat insurans, mengatur ahli perniagaan supaya
membalas panggilan, membeli tiket dan menempah meja restoran termasuk dalam perbualan digunakan untuk mengira waktu berbual di telefon, tetapi tidak membabitkan panggilan berkenaan kerja.
Hampir tiga dalam setiap 10 lelaki iaitu 29 peratus berkata, sukan adalah topik kegemaran mereka diikuti 22 peratus membincangkan misteri wanita dan 20 peratus lagi berbicara mengenai wang.
Tiga puluh dua peratus wanita berkata, mereka banyak berbual mengenai lelaki. Bilangan sama berkata apa yang hendak dan tidak perlu dipakai adalah topik utama perbualan manakala subjek lain mengenai rakan dan merancang untuk keluar berhibur.
Tinjauan, dilakukan syarikat kad Nectar dan firma telekomunikasi, Talk Talk,
juga mendapati rakyat Scotland paling suka berbual dengan 62 peratus penduduk dewasa memperuntukkan lebih 30 minit sehari bergayut di telefon. – Agensi